Saturday, 27 October 2012

IBADAH KORBAN DAN KELEBIHANNYA



Sepuluh awal Zulhijjah dinilai sebagai sepuluh hari yang mulia kerana ia adalah hari-hari penting bagi kaum muslimin terutama mereka yang menunaikan ibadah haji. Firman Allah SWT: “Demi Waktu fajar dan demi sepuluh malam.” (Surah al-Fajr, ayat 1-2) 

Al-Hafiz Ibnu Kathir berpendapat sepuluh malam bermaksud sepuluh hari awal pada bulan Zulhijjah seperti tafsiran yang telah dinyatakan Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair dan Mujahid. Ibadah lain yang besar nilainya pada Zulhijjah adalah ibadah korban. Antara ayat al-Quran yang menyeru manusia melakukan ibadah korban ialah firman Allah SWT: “Dan tunaikanlah solat (kerana Tuhanmu) dan sembelihlah.” (Surah al-Kauthar, ayat 2) 
Imam al-Syaukani dalam kitab tafsirnya Fath al-Qadir menjelaskan bahawa solat yang dimaksudkan adalah solat sunat Aidiladha dan suruhan sembelihan pula bermaksud ibadah korban seperti dinyatakan oleh Qatadah, 'Ataa' dan Ikrimah. 

Berdasarkan dalil ini, ulama berpendapat ibadah korban adalah salah satu syariat yang dituntut dalam Islam. Berkenaan hukum melakukan ibadah korban, jumhur ulama menyatakan hukumnya adalah sunnat muakkad iaitu sunat yang amat dituntut.

Hukum laksana korban

Ini juga pandangan sarjana fiqh dalam mazhab al-Syafie. Imam al-Nawawi menyatakan hukum menunaikan korban bagi orang bermukim dan mempunyai kemampuan adalah sunat yang dituntut dalam mazhab. 
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Hakim, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai kemampuan dan dia tidak menyembelih korban maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (ketika solat sunat Aidiladha).” (Hadis ini dinilai sahih oleh al-Hakim, al-Imam al-Zahabi dan al-Albani) 

Ini menunjukkan kepentingan ibadah korban. Sebahagian sarjana fiqh bermazhab Hanafi dan Maliki berpendapat ibadah ini wajib bagi mereka yang berkemampuan kerana Nabi SAW melarang sesiapa yang berkemampuan, tetapi tidak melakukan korban untuk bersolat sunat Aidiladha.

Namun, yang lebih tepat hukumnya adalah sunat muakkad berdasarkan perbuatan kebanyakan sahabat antaranya Abu Bakar, Umar, Ibnu Abbas dan lain-lain yang kadang kala meninggalkan ibadah korban ini. 

Al-Imam al-Thohawi dalam Mukhtasar Ulama’ meriwayatkan bahawa Abu Sarihah menyatakan sesungguhnya Abu Bakar dan Umar pernah meninggalkan ibadah korban supaya ia tidak dianggap wajib oleh umat Islam.

Amalan disukai Allah SWT

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) daripada menyembelih sembelihan (korban), sesungguhnya ia akan datang pada hari akhirat nanti bersama tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya darah yang jatuh daripada sembelihan korban itu sampai kepada Allah sebelum daripada jatuh ke atas tanah maka sempurnakanlah sembelihannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Kelebihan ibadah korban

Antara kelebihan ibadah korban adalah untuk menunjukkan kecintaan kita kepada Allah SWT. Ibadah korban juga salah satu syiar Islam. 

Allah SWT berfirman: “Dan mereka mengingati Allah SWT pada hari-hari yang tertentu (dengan menyembelih korban) dengan apa yang Allah kurniakan kepada mereka yang terdiri daripada haiwan-haiwan ternakan.” (Surah al-Haj, ayat 28) 

Salah seorang ulama tafsir iaitu Syeikh Abdul Rahman al-Sa’diy menjelaskan dalam karya tafsirnya Taisir al-Karim al-Rahman, sembelihan dilakukan seseorang muslim dengan tujuan mengingati Allah SWT atas nikmat diberikan antaranya yang terdiri daripada haiwan ternakan.

Selain itu, umat Islam dituntut melakukan ibadah untuk mengingati dan meneruskan ibadah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim yang menunjukkan rasa taat dan patuh kepada setiap perintah Allah SWT sehingga sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail.

Namun Allah SWT menukarkan Nabi Ismail dengan seekor kibas yang gemuk sebagai ganti kepada nilai ketaatan ditunjukkan mereka berdua. 

Lantaran itu peristiwa ini dijadikan ibadah dalam syariat Islam dengan disunatkan setiap muslim yang mampu supaya menyembelih haiwan ternakan sebagai melahirkan rasa cinta kepada Allah SWT melebihi dunia dan isinya serta untuk memperingati peristiwa bersejarah ini.

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ibadahkorbansyariatdituntut

Thursday, 25 October 2012

SALAM AIDIL ADHA

Salam Aidil Adha kepada seluruh umat Islam umumnya dan warga SMKTTJ khususnya...Semoga kita semua dapat menghayati erti pengorbanan yang sebenarnya..


Saturday, 20 October 2012

MAJLIS GRADUASI 2012

18 Oktober 2012 (Khamis) SMKTTJ melakar sejarahnya tersendiri kerana buat pertama kalinya Majlis Graduasi untuk pelajar tingkatan 5 telah diadakan. Seramai 237 pelajar diberi sijil selepas 5 tahun belajar di peringkat sekolah menengah di Dewan INTI International University, Nilai.

Majlis diserikan dengan kehadiran YB Tuan Haji Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar, Ahli Parliman Rembau yang sudi menyampaikan sijil-sijil graduasi kepada graduan semua.

Syabas dan tahniah kepada Ameera Farzana binti Abdul Rahim yang  telah dianugerahkan Anugerah Pengetua kerana berjaya memperolehi 10A dalam Peperiksaan Percubaan SPM yang lepas.

Tahniah juga buat semua pelajar yang telah dianugerahkan sijil dalam Majlis Graduasi 2012.  Mudah-mudahan tahun hadapan majlis ini akan menjadi idola semua warga SMKTTJ dan menjadi majlis graduasi pelajar terbaik di Negeri Sembilan.

 











 





Monday, 8 October 2012

HARI ANUGERAH KUALITI 2012

Pada 5 Oktober 2012 baru-baru ini satu lagi dalam sejarah apabila Hari Kualiti dan Anugerah Kecemerlangan 2012 berjaya diadakan. Majlis dirasmikan oleh YB Dato' Devamany al S.  Krishnasamy, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Kesempatan ini pihak panitia ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah.