Tuesday, 13 September 2011

AMALAN ZIARAH MENZIARAHI






Ramadan yang mulia sudah pun berlalu. Umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan menjalani ibadah puasa. Lazimnya di musim perayaan, ziarah-menziarahi adalah amalan yang akan dilakukan bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga dalam masyarakat lain, terutama sekali dalam mengunjugi rumah terbuka.

Amalan ziarah-menziarahi amat dituntut dalam Islam, apatah lagi di musim Aidilfitri. Aidilfitri membuka ruang kepada kita untuk mengaplikasikan ajaran Islam mengenai konsep berkenal-kenalan (lita’arafu) dan mengeratkan silaturahim. Sekolah Ramadan yang dilalui telah mengajar dan mendidik hati untuk sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

Puasa mendidik hawa nafsu, mengajar untuk sentiasa menginsafi nikmat yang diterima dan juga berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengutip pahala daripada amalan-amalan sunat, sedekah dan lain-lain.

Justeru, hari kemenangan menunaikan ibadah ini disambut dalam semangat mengajak manusia kembali pada fitrah dan kembali kepada kebaikan.

Jika pada bulan Ramadan manusia berusaha untuk menambah pahala amalan berpuasa, mengapa tidak di hari lebaran semangat itu dipanjangkan dengan amalan ziarah-menziarahi? Amat menyedihkan sekiranya amalan ini tidak diteruskan hanya dengan alasan terlalu sibuk dan tidak sempat untuk mengunjungi saudara mara dan rakan taulan.

Bagi remaja, kadangkala mereka lebih suka menonton rancangan-rancangan di televisyen daripada melakukan ziarah. Tambah malang lagi, jika ibu bapa sendiri tidak menggalakkan atau mengajak anak-anak mereka untuk menziarahi sanak-saudara.

Akibatnya, ikatan persaudaraan menjadi longgar dan silaturahim tidak terjalin. Keluarga akan membesar dalam sikap mementingkan diri sendiri dan tidak pedulikan tentang orang lain selagi tidak menyusahkan mereka. Ini antara lain, menggalakkan bibit-bibit perpecahan sesama umat Islam yang pada dasarnya amat menggalakkan amalan jemaah dan bersatu padu.

Mahabbah dan ukhuwah (ikatan persaudaraan) terjalin apabila ziarah dilakukan. Anak-anak mendekati ibu bapa, yang muda ingat pada si tua, kawan sekerja mengenang teman seperjuangan, orang sihat menziarahi yang sakit, yang kaya menziarahi si miskin, dan jiran tetangga kunjung-mengunjungi.

Ziarah membawa kegembiraan kepada mereka yang diziarahi, terutamanya orang tua, warga miskin, anak yatim dan yang terpaksa merayakan perayaan di dalam keadaan yang serba kekurangan. Bayangkan jika kita sudah berumur dan tidak berdaya, tinggal keseorangan menyambut hari lebaran, tentunya kita mengharapkan ada orang yang sudi melawat dan bertanyakan khabar. Sekurang-kurangnya menjadi pengubat kesepian.

Ziarah Syawal memberi peluang kepada manusia untuk bertanya khabar dan mengeratkan silaturahim. Perhubungan yang terputus dapat ditaut kembali, saudara mara berkesempatan mengenali satu sama lain dan ikatan yang sedia erat akan menjadi lebih bermakna dengan kehadiran si penziarah. Anak-anak yang mencari rezeki di kota harus pulang ke desa untuk meneruskan amalan ziarah-menziarahi supaya tidak lupa akan asal-usul masing-masing.

Dalam erti kata lain, amalan ini juga memberi ruang untuk manusia supaya menginsafi diri dan tidak hanya bersikap individualistik. Kehidupan setiap insan tidak sama, dan perbezaan taraf kehidupan kadangkala memberi impak kepada persepsi manusia. Namun begitu, persepsi tidak sepatutnya membolehkan orang yang berada melupakan si miskin, yang sihat tidak terkenangkan yang sakit dan apatah lagi yang muda melupakan si tua. Perasaan takbur dan sombong harus dibuang jauh-jauh kerana manusia harus sedar bahawa setiap nikmat yang dimiliki adalah anugerah Allah yang patut disyukuri dan dikongsi bersama.

SUMBER : HALAQAH.NET.

No comments:

Post a Comment