Monday 29 August 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Kesempatan ini,  pihak panitia ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua warga SMKTTJ khususnya dan seluruh umat islam amnya.
Di bawah ini disenaraikan beberapa adab berhari raya untuk peringatan kita semua.

1.    Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Imam Malik r.h. meriwayatkan sebuah hadith di dalam al-Muwatto’ (الموطأ)
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
Maksudnya : “Bawasanya ‘Abdullah bin ‘Umar seringkali akan mandi pada hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat Hari Raya di pagi hari raya.”
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.
2.    Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya ‘Aid al-Fitri dan sebaliknya untuk ‘Aid al-Adha
Termasuk di dalam adab berhari raya al-Fitri ialah makan dahulu sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
Maksudnya : “Adalah Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah baginda makan terlebih dahulu beberapa biji Tamar… dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (al-Bukhari : 953)
3.    Bertakbir pada hari Raya
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah swt :
وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن
Maksudnya : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengangungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah : 185)
Daripada al-Walid bin Muslim katanya : “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua : “Ya, adalah ‘Abdullah bin ‘Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”
4.    Lafaz Takbir Hari Raya
Di dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibn Mas’ud r.a. yang bertakbir pada hari Tasyrik dengan lafaz :
اللهُ أكْبَرُ اللهُ أكْبَرُ لَا إلهَ إلاَّ اللهُ وَاللهُ أكْبَرُ اللهُ أكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْد
Maksudnya : Allah maha besar, Allah maha besar, tidak ada ilah melainkan Allah dan Allah yang maha besar, Allah yang masa besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”
5.    Ucapan Tahniah Pada Hari Raya
Termasuk daripada adab berhari raya ialah dengan menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan :
1. تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ  – Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan anda semua)
2.
عِيْدُ مُبَارَكْ – (Selamat) hari raya yang diberkati.
6.    Bercantik di Hari raya
Daripada Jabir r.a. katanya : “Bagi Nabi saw ada satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” (Sahih Ibn Khuzaimah : 1765)
7.    Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan yang lain.
Daripada Jabir bin Abdillah r.’anhuma katanya :
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya : “Adalah Nabi saw, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” (al-Bukhari : 986)
8.    Solat Hari Raya

9.    Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya
Daripada ‘Ali bin Abi Tolib r.a. katanya : “Termasuk di dalam sunnah, mendatangi (solat) hari raya dengan berjalan kaki.” (Riwayat al-Tirmizi dan beliau menghasakannya). Kata al-Tirmizi : “Beramal dengan hadith ini kebanyakan para ulama, mereka memandang sunat orang lelaki keluar (utk solat hari raya) dengan berjalan kaki.” Kata Ibn al-Munzir : “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawadhu’, dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”

MAJLIS KHATAM ALQURAN 2011 & SUMBANGAN AIDIL FITRI

Syukur,,,sekali lagi kemuncak program tahunan (Ihya ' Ramadhan) kali ini diakhiri dengan Majlis Khatam AlQuran. Majlis yang diadakan pada 26 Ogos yang lalu ternyata lebih istimewa kerana aturcara yang disusun dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan pengisian yang betul-betul menginsafkan dan mampu mendekatkan diri kepada Nya....iaitu :


7.30 pagi - pelajar dan guru mengambil tempat
7.45 pagi - Majlis Khatam Al- Quran ( 21 pelajar terpilih, dipimpin 2 orang ustaz)
8.30 pagi - Bacaan Tahlil Arwah
9.00 pagi - Solat Taubat dan Solat Hajat Berjemaah
9.30 pagi - Ceramah Khas : "Pengukuhan Aqidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam AlQuran Karim (PASAK) oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Arif Kosmo, UKM.
10.45 pagi - Sumbangan ikhlas kepada pelajar miskin / anak yatim
11.00 pagi - Salam Setulus Ikhlas AidilFitri
11.15 pagi - Majlis Bersurai.
Ceramah PASAK
Antara yang menarik....susunan surah AlQuran ....terbentuk tulisan Allah....(Subhanallah)
Antara guru yang terpegun mendengar huraian penceramah.

Gambar lain akan di upload kemudian.

MAJLIS IFTAR JAMA'I & SOLAT TERAWIH 2011

Syukur....pada 23 Ogos yang lalu ini panita berjaya menganjurkan program Iftar Jama'i (Berbuka Puasa) di Kantin..Seramai lebih kurang 200 guru, staf, ahli keluarga dan pelajar telah hadir menjayakan program ini. Apa yang menariknya Iftar kali ini adalah tetamu undangan yang hadir iaitu  Imam Muda Fatah dan Ustaz Husaini, Naib johan Akademi Al-Quran 2011. Turut hadir adalah YDP PIBG Encik Abdul Hamid Yaakub dan Encik Ridzuan dari PTPL , Seremban. 

Selepas iftar, majlis diteruskan di Surau Al Husna dengan Solat Maghrib, Bacaan AlQuran oleh Ustaz Husaini, Tazkirah Ramadhan oleh Imam Muda Fatah, Solat Isyak dan Solat Terawih dan kemuncaknya acara penyampaian sumbangan zakat oleh Encik Ridzuan (dari PTPL) kepada 20 orang pelajar terpilih.

Panitia mengucapkan terima kasih kepada semua guru, staf dan para pelajar yang hadir dan sumbangan ikhlas yang diberikan. Semoga program seperti ini dapat diadakan pada tahun mendatang.


 Majlis Iftar....

Sumbangan pihak PTPL kepada pelajar terpilih
Sumbangan sekolah kepada Imam Muda Fatah
Sumbangan sekolah kepada Ustaz Husaini

TAZKIRAH PAGI SEPANJANG RAMADHAN

Salam...al Hamdulillah Ramadhan kali ini betul-betul bermakna bagi warga SMKTTJ kerana hampir setiap pagi  di perhimpunan pagi di Dataran Setia diperdengarkan Tazkirah Ramadhan oleh Ustaz ustazah dan guru-guru SMKTTJ. Walaupun tazkirah ini hanya beberapa minit sahaja tetapi ianya banyak memberi peringatan penting tentang Ramadhan, kelebihannya, adab dan sebagainya.


Pihak panitia ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua guru yang turut menyumbang perkongsian ilmu ini....
Antara gambar guru-guru yang sempat diambil.....
 En. Alias - "Hikmah Puasa"
 Pn Faridah - "Syaitan Bercuti Lagi"
 Pn. Fadhilah - "Latih tubi Ramadhan"
 En. Mohd Hafiz - :"Bonus Khas Ramadhan"
 Tn Omar Ahmad - "Puasa & kecemerlangan" 
 Pn. Hajah Zainab - "Puasa & Kemenangan"
En. Mohd Hafiz Ahmad - "Puasa & Keampunan"



Wednesday 24 August 2011

MENANTI MALAM LAILATUL QADAR



10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, Al Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.
Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Sebab turun surah al-Qadr
Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Sebab diturunkan ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.
Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah w.s.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.

Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan.
Dalam hadis Rasulullah s.a.w. menyebut
Maksudnya: "Rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10 akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya"
Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah. Kata Aisyah r.a.
Maksudnya: "Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah."

Kelebihan Menghayati Malam Lailatulqadar
Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.
Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.
Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.
Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya:
Maksudnya: "Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain."
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat.

sumber :
http://www.al-azim.com

Wednesday 17 August 2011

SALAM NUZUL QURAN


Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.


‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran.


Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah daripada tempat yang terletak di sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.‘Al-Quran’ pula bererti bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. 

Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-Alaq. Firman Allah bermaksud:

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Mulia yang mengajarkan (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." 


Bila dan bagaimana Al-Quran diturunkan?
Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw.Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan.Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi pada tanggal 17 Ramadhan.
Adapun dalam firman Allah SWT pada ayat 41 surah Al-Anfaal, yaitu:
“…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…” (TTQ 8 : 41)
Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.
Tetapi sebenarnya ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut). ” Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…” (TTQ 8 : 41).
Dan apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 21 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.
Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam “Lailatul Qadar” sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di “Baitul Izzah” di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun. Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah Al-’Alaq.
Dan peristiwa ini terjadi ketika nabi saw sedang bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.


Sumber : zikriinfo.com..


MARI BERTADARUS

Salam....antara amalan yang amat digalakkan di dalam bulan Ramadhan ini ialah bertadarus. Apakah itu bertadarus? Bertadarus ertinya membaca Al-Quran secara beramai-ramai sehingga tamat (khatam) terutamanya di dalam bulan Ramadan. Hukumnya adalah sunat. 


Keutamaan bertadarus ialah:

1. Setiap huruf daripada ayat Al-Quran yang dibaca, Allah beri satu kebajikan.
2. Ayat-ayat di dalam Al-Quran banyak berisi ayat memohon keampunan, memohon kebajikan, memohon dijauhi seksaan Neraka dan sebagainya. Dengan membaca Al-Quran, secara tidak langsung kita berdoa dan memohon dari Allah. Allah akan memberikan sebaik-baik pemberian kepada orang-orang yang memohon kepadaNya.
3. Orang yang berpuasa dan bertadarus, mendapat syafaat dari puasa dan Al-Quran.

Antara adab yang perlu dijaga kita bertadarus pula adalah seperti berikut :

1. Berniat mengerjakan tadarus di bulan puasa adalah kerana Allah.

2. Tumpukan perhatian dan fikiran kepada ayat-ayat yang dibaca.

3. Fahami dan rasailah kebesaran dan kehebatan Allah.

4. Fahamilah kandungan atau ayat yang dibaca.

5. Jauhilah ingatan kepada permasalahan lain.

6. Anggaplah setiap ayat yang dibaca ditujukan kepada diri sendiri.

7. Apa yang dibaca biarlah terkesan di hati. Contohnya, ayat yang menyentuh tentang seksaan Neraka, datangkan rasa gerun dan takut di hati akan seksaan Neraka itu dan sebagainya.

8. Bacalah dengan jelas, teratur dan jika boleh dengan tajwid yang betul.


9- Sebelum nak mula ngaji, elok amalkan membaca doa:
Ertinya: Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmah-Mu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmat-Mu, wahai yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

...diikuti dengan:yang bermaksud: "Ya Tuhan, lapangkanlah dadaku, mudahkanlah segala urusanku, dan lepaskanlah kekakuan lidahku, agar mereka mengerti perkataanku." (QS Thaha 27)


Selepas membaca Quran pula, elok pula amalkan membaca:

Terjemahannya: "Ya Allah rahmatilah kami dengan al Quran. Jadikan ia imam kami, cahaya, petunjuk dan rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami apa yang kami lupa dan ajarkan bagi kami apa yang kami jahil. Kurniakanlah kepada kami untuk dapat membacanya sepanjang malam Ya Allah dan sepanjang siangnya. Jadikanlah ia perisai kami. Wahai Tuhan sekelian alam.".

Di sekolah, Panitia Pendidikan Islam saban tahun menganjurkan bertadarus setiap kali menjelang Ramadhan... Setiap Guru Pendidikan Islam perlu membawa pelajar ke surau untuk aktiviti ini...Kemuncak program pula ialah Majlis Khatam Al-Quran...



 Pelajar bertadarus di surau sekolah (Surau Al-Husna)








Saturday 6 August 2011

IHYA' RAMADHAN 1432H

Bulan ramadhan datang lagi. Bagi meraikan kedatangan bulan yang mulia ini pihak Panitia Pendidikan Islam telah merancang beberapa program yang bermanfaat khususnya untuk warga SMKTTJ bermula 1 Ramadhan 1432 H.

OBJEKTIF :
1.Meraikan kedatangan bulan ramadhan yang disyariatkan berpuasa
2.Memperbanyakkan amalan dibulan yang diberkati
3.Memberikan pengalaman yang berguna kepada para pelajar suasana majlis dibulan ramadhan
4.Merapatkan hubungan sesama kakitangan dan guru

TEMA
"Ramadhan Pemangkin Mukmin Sejati" .


Antara aktiviti utama yang diadakan adalah:-
  1. Tazkirah pagi (oleh guru-guru yang dilantik) dan bicara keilmuan
  2. Radio sekolah - Asmaul Husna, Bacaan Al-Quran, nasyid-nasyid dan zikir-zikir
  3. Solat Taubat, Hajat & Bacaan Yasin - setiap pagi Jumaat (program Bina Insan)
  4. Solat Berjemaah Zuhur & Asar 
  5. Edaran Risalah / Buletin Ramadhan
  6. Program Raudatul Sakinat - pelajar puteri setiap tengahari Jumaat
  7. Tadarus Al-Quran (setiap kelas)
  8. Majlis Khatam Al-Quran  & sumbangan Aidil Fitri (26 Ogos 2011) 
 Diharap semua warga SMKTTJ mendapat manfaat 
dari program yang diadakan.
.
 Semoga kita sentiasa memperbanyakkan amalan di bulan 
yang penuh rahmat Allah ini.